Meskipun mata si pemakai menjadi cantik, sebenarnya penggunaan bulu mata palsu ini boleh memberi kesan sampingan terutamanya risiko kanser. - Foto hiasan
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, pemakaian bulu mata palsu dilihat semakin popular kerana ia akan menjadikan sesiapa sahaja yang memakainya menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat.
Malah pemakaian bulu mata palsu itu adalah cara paling mudah untuk memiliki bulu mata yang lentik, panjang dan tebal.
Disebabkan harganya yang semakin murah dengan pelbagai pakej menarik ditawarkan, penggunaan bulu mata palsu ini turut digunakan oleh mereka yang masih bersekolah.
Meskipun mata si pemakai menjadi cantik, sebenarnya penggunaan bulu mata palsu ini boleh memberi kesan sampingan terutamanya risiko kanser.
Pakar Oftalmologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (HSAAS UPM), Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa, berkata salah satu aspek penting dalam pemakaian bulu mata palsu adalah penggunaan gam.
"Sambungan bulu mata boleh melakukan keajaiban untuk mata seseorang. Tetapi penggunaan gam bagi melekatkan bulu mata itu boleh membahayakan pengguna dalam jangka masa yang pendek atau pun panjang.
"Sebenarnya gam bulu mata ini disenaraikan sebagai salah satu produk kecantikan paling toksik dalam pasaran. Ini kerana terdapat banyak gam yang mengandungi pelbagai varian koktel bahan kimia berbahaya.
"Ia termasuk bahan kimia seperti paraben, ammonia, formaldehid, plumbum dan natrium dodecylbenzenesulfanate. Kesemua yang disenaraikan ini boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit, kemerahan dan bengkak," katanya kepada BH, baru-baru ini.
Dr Muhammad berkata, daripada kesemua bahan kimia itu, formaldehid sering digunakan sebagai pengawet dan ia adalah bahan kimia yang diketahui sebagai karsinogen atau bahan yang boleh menyebabkan kanser.
"Pada tahun 1980, kajian makmal menunjukkan bahawa pendedahan kepada formaldehid boleh menyebabkan kanser hidung pada tikus. Penemuan ini menimbulkan persoalan sama ada pendedahan formaldehid ini juga boleh menyebabkan kanser pada manusia?
"Pada tahun 1987, Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) mengklasifikasikan formaldehid sebagai kemungkinan karsinogen manusia dalam keadaan pendedahan yang luar biasa tinggi atau berpanjangan.
"Sejak itu, beberapa kajian terhadap manusia menunjukkan bahawa pendedahan formaldehid boleh dikaitkan dengan jenis kanser tertentu," katanya.
No comments:
Post a Comment