Fattah cuba mengelak menjadi tamak dan hanya bersetuju untuk menerima sesuatu tawaran jika bersesuaian dengan prinsip dipegang. - Foto IG
PUTRAJAYA: Pelakon Fattah Amin menyifatkan rezeki melimpah ruah dinikmatinya selepas bercerai sebagai amanah buatnya.
Pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-30 itu berkata, dia bersyukur dengan rezeki dikurniakan dan sedar semuanya datang dengan satu tanggungjawab besar yang harus dilunaskan dengan sebaik mungkin.
"Rezeki ini sudah tertulis dan ia perkara yang saya tak tahu seperti yang sering saya cakap seperti ajal dan jodoh.
"Alhamdulillah, saya pun tak sangka rezeki sangat murah sekarang. Apa yang patut saya buat adalah bersyukur dengan rezeki Allah bagi.
"Saya juga anggap rezeki dan kerja adalah satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan sehabis baik supaya saya tak kecewakan pihak yang memberikan kepercayaan untuk jadi duta kempen dan sebagainya.
"Itu yang saya cuba lakukan sekarang," katanya ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA 2024), di sini, malam tadi.
Tambah Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, dia cuba mengelak untuk jadi tamak dan hanya bersetuju untuk menerima sesuatu tawaran jika ia bersesuaian dengan prinsip yang dipegang.
"Tak juga (terima semua). Saya tengok juga dari segi jenama dan latar belakang produk termasuk dari segi komitmen.
"Saya cuba elakkan produk lebih kurang sama sebab saya tak nak ada masalah pada kemudian hari. Syarikat pengurusan saya juga begitu menitik beratkan jenis produk yang kami hendak bekerjasama," ujarnya.
Disebabkan tawaran kerja yang datang bertimpa-timpa, Fattah memaklumkan jadualnya padat hingga Februari tahun depan.
Dalam pada itu, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu turut berkongsi keadaan tubuhnya yang sedikit susut sebelum ini.
"Mungkin juga disebabkan sibuk bekerja. Makan pun tak teratur. Tubuh saya menyusut sebanyak tiga kilogram," jelas Fattah.
Sementara itu, mengulas momen pertemuan dengan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berada di bawah jagaan bekas isteri, pelakon Nur Fazura, baru-baru ini, Fattah akui seronok dapat menghabiskan masa dengan puteri kesayangannya itu.
"Fatima sangat happy dapat jumpa daddy. Saya dapat luangkan masa dengannya, bawa jalan-jalan dan belikan permainan.
"Alhamdulillah, terubat juga kerinduan ini," ungkap Fattah sambil tersenyum.
Mengulas mengenai sokongan tidak putus-putus diterima selepas melalui episod duka, aktor tinggi lampai itu meluahkan rasa terharu dengan kata-kata pembakar semangat yang diberikan.
"Saya terharu dengan sokongan luar biasa terutama peminat yang tidak jemu-jemu mendoakan yang baik-baik.
"Bila sentiasa bercakap perkara positif, sebenarnya ia akan refleks diri sendiri juga. Bila doakan yang baik-baik terhadap orang dan Allah nampak, insya-Allah saya juga akan dapat ganjarannya," ujar pelakon drama rantaian Hero Seorang Cinderella ini.
#news #berita #malaysia #viral #foodie #kualalumpur #tiktok #semasa #media #trending #fyp #fypppppppppp #trendztok #lompattikam #avaninews #trendzfoodie #ohmediaviral #rodaviral #isuhangat #isusemasa #update #facebook #instagram #x #contentcreator
No comments:
Post a Comment